Motif Bunga Susun Tunggal (Pokok Kiambang)

Motif Bunga Susun Tunggal (Pokok Kiambang)

Bunga Kiambang atau Bunga Terapung, juga dikenali sebagai Terapung Selada, tumbuh dengan meluas di negara-negara tropika dan boleh dilihat menutupi permukaan tasik atau air secara berkelompok. Oleh kerana ciri-ciri dan sifatnya yang tersendiri, Kiambang memainkan peranan penting dalam mewakili pemikiran, falsafah, dan nilai-nilai orang Melayu.

Bunga ini sering digunakan dalam pantun Melayu - sebagai metafora reflektif, menggambarkan nilai estetika Melayu yang bijak serta cermat pertuturannya dalam menyampaikan makna sesuatu perkara atau membuat kenyataan untuk tujuan tertentu seperti yang dilihat di atas.

Sejenis tumbuhan yang berdikari dan megah, mampu wujud sendirian dengan indah tetapi masih boleh bersatu dan hidup atau berkongsi ruang bersama yang lain benar-benar mempamerkan hakikat orang Melayu.

Slogan terkini 'Keluarga Malaysia' boleh dilihat dalam cara Kiambang menyatakan sifat sejatinya. Walaupun dilanda cabaran besar - seperti Kiambang, apabila bot melepasi atau lalu dan memisahkan setiap di antaranya; dengan cepat ia akan bergabung semula dan bersatu kembali, mencipta pemandangan indah di atas permukaan air. 

Oleh itu, Kiambang adalah bunga yang ideal untuk diabadikan sebagai salah satu motif yang dibangunkan bagi mewakili identiti Malaysia. Selain nilai estetiknya, Kiambang juga bermanfaat digunakan dalam perubatan dan penyembuhan serta turut membawa kebaikan bukan sahaja kepada manusia atau haiwan tetapi kepada keseluruhan ekosistem.

Ia boleh menjadi hidangan di dalam masakan, makanan untuk haiwan, baja organik (kerana kandungan Kalium yang tinggi) serta ubat untuk masalah perut atau pencernaan, mengawal kitaran haid yang sihat, dan mengurangkan keradangan.

Secara umumnya, ia bukan hanya tumbuhan yang cantik untuk dilihat. Ia juga berguna kepada persekitarannya, membantu manusia dan tetap setia pada tujuan kewujudannya.

Sebagai motif, bunga ini dizahirkan dengan kuntum kepala yang mekar, dihiasi dua garis nipis yang muncul seperti tangan yang meregang keluar dan sedikit melengkung di hujung, memberikan keseimbangan kepada strukturnya dengan penampilan dasar yang kelihatan seperti kain kembang atau ‘skirt’.

Diberi nama motif SUSUN TUNGGAL, inspirasinya datang dari kemampuannya untuk berdikari serta boleh berkumpul dengan rakan kiambang yang lain namun masih kekal autentik, unik dengan peribadi tersendiri. Apabila diletak bersebelahan, akan terbit satu corak yang tersusun rapi – tanpa dipaksa, menggambarkan ciri sebenar tumbuhan ini yang selari dengan prinsip reka bentuk Melayu di mana setiap sesuatu perlu serasi dan harmoni.

Biduk lalu kiambang bertaut

Hanyut perahu ke tepi pantai

Kisah dahulu usah disebut

Sudah tahu hajat tak sampai

Back to blog